Pulau Pinang milik Kedah.

 Di belakang saya ini ialah muara Sungai Merbok yang memisah Pantai Merdeka dengan Tanjung Dawai.

Setiap petang muara menjadi sibuk dengan bot-bot penumpang yang berdesup-desap dari kedua-dua arah membawa pengunjung untuk bersiar-siar menikmati keindahan alam semula jadi ciptaan Ilahi.

Sungai Merbok menjadi nadi utama para nelayan mencari nafkah untuk keluarga. Bau hanyir air tawar sepanjang Sungai Merbok hingga ke Selat Melaka sudah menjadi mainan para nelayan.

Poket nelayan terisi bila hasil udang, ikan, sotong dan kerang mengena pada jala dan pukat tetapi adakalanya terpaksa menebal muka untuk berhutang bila masuk musim tengkujuh.

Nun di sana terletaknya Pulau Pinang yang jaraknya hanya sepetang mendayung sampan.

 Pulau Pinang negeri milik Kedah dipajak kepada Inggeris pada 237 tahun yang lalu menerusi satu perjanjian berat sebelah; meskipun Inggeris telah memberikan jaminan sebaliknya kepada Sultan Kedah.

Kapten Light yang pada asalnya bersetuju membantu Kedah untuk menghadapi Siam selain membayar wang pajakan bertindak khianat melanggar penjanjian serta menipu Sultan Abdullah Mukarram Shah dan rakyat Kedah.

Sultan Abdullah serta rakyat Kedah yang hidup di zaman itu tidak mengajar kita untuk hanya dipijak.

Tetapi mereka termasuk kaum nelayan telah bangkit dalam beberapa siri penentangan ke atas penjajah untuk menuntut hak dan semua milik kepunyaan kita.

Ilmu adalah senjata anak muda Kedah hari ini. Jangan biarkan hidup kita terus ditipu oleh musuh yang telah bertukar bendera.

Banyak keistimewaan Kedah disedut secara buta, berani pula mereka menafikan hak dan kepunyaan Kedah ke atas sebahagian negerinya sendiri iaitu Pulau Pinang.

Kisah Sultan Abdullah telah menjadi sejarah, kisah kita hari ini juga akan dipahat sejarah.

Bezanya, apakah kita mahu menjadi rakyat Kedah di zaman baginda yang menuntut semula hak atau selesa membiarkan orang luar masuk ke rumah kita?

Najmi Ahmad

Pantai Merdeka

2 Jun 2023

Petang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *