Jasa dan Kenangan Perwira Negara


Sebilah belati..

Dalam kesamaran hujan lebat, Mejar Murad merangkak perlahan-lahan dari banir sebatang pokok tua merentasi akar pokok besar lain.

Dia perlu menghapuskan segera alat komunikasi pasukan pengganas sebelum mereka menerima maklumat kehadiran lima anggota ATM yang dihantar ke kawasan itu.

Sebelas komunis yang berkawal di Markas Weng sedang leka bermain mahjong.

Beberapa anggota komunis itu bergelak tawa diselangi dengan gelagat meneguk terus air dari labu sayong seperti orang mabuk.

Mungkin arak mungkin air kosong? Mejar Murad tidak peduli semua itu. Misinya hanyalah satu iaitu segera menjayakan misi.

Ada juga komunis yang sedang nyenyak tidur diulit kesejukan hutan. Perancangan yang diatur ialah menghapuskan dahulu alat komunikasi musuh tanpa dikesan.

Tiada tembakan dalam kem musuh boleh dilepaskan kerana nyawa Mejar Murad bakal melayang. Empat lagi anggota ATM hanya akan bergabung dengan Mejar Murad membedil musuh selepas misi pertama selesai.

Kumpulan komunis itu tidak sedar bahawa 19 orang rakan mereka  yang dalam perjalanan pulang dari Ulu Legong ke terowong bawah tanah di Weng telah dihapuskan pasukan Mejar Murad.

Sebelum berita kematian komunis itu sampai ke Markas Weng, Mejar Murad memutuskan untuk segera menghapuskan kedudukan markas Komunis di Bukit Weng. Markas itulah yang menjadi penghubung kepada markas komunis di Thailand.

Melihat semuanya leka, Mejar Murad bergerak lagi dan membongkokkan sedikit badan untuk menyelinap ke kawasan semak.

Inilah masa terbaik untuk masuk, bisik hati kecil Mejar Murad sambil bibir membacakan solawat dan doa.

Mejar Murad dan empat lagi anggota ATM dalam bahaya sekiranya pasukan bantuan komunis dari sempadan sempat turun ke Baling.

Misi malam itu, misi hidup mati. Lima anggota ATM dihantar untuk menghapuskan kedudukan musuh.

Empat lagi rakan seperjuangan Mejar Murad sedang berkawal sejauh 500 ratus meter dari luar Markas Weng, kesemuanya dalam keadaan bersedia menggempur pasukan bantuan musuh yang mungkin akan tiba bila-bila masa.

Mejar Murad merangkak lagi seperti ular menjalar mencari makanan. Seluruh tubuhnya bersalut selut bukit. Semuanya dikotori tanah kecuali sepasang mata garang yang tangkas memerhati pergerakan musuh. Sebilah belati tersisip kemas di pinggang siap dikeluarkan…

Kisah-kisah wira kita di sempadan pergi dari bayangan sebaik sebilah belati dalam sebuah kotak kaca diserahkan Persatuan Vateran (PV) ATM Cawangan Dun Kupang kepada saya.

Saya amat bergembira dapat merasmikan Mesyuarat Agung PV ATM Cawangan DUN Kupang dan beramah mesra dengan mereka  di Masjid Ubudiah Kampung Ketumba petang tadi.

Pada program itu saya juga berbesar hati meluluskan peruntukan sebanyak RM 2,000 buat PV ATM Cawangan DUN Kupang.

Buat wira-wira negara telah pergi, Al Fatihah saya hadiahkan..

-Coretan Najmi Ahmad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *